Setiap individu tidak terkecuali untuk dibebani dengan perasaan tidak keruan iaitu tekanan.Tekanan boleh meliputi pelbagai aspek tidak kira percintaan, kerjaya mahupun persekitaran. Ia perlu diatasi bagi memastikan ia tidak menjejaskan kesejahteraan hidup kita nanti. Malah, akibat tekanan juga kita mudah mendapat pelbagai masalah kesihatan
Bagi Prof Madya Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi, Pakar Perunding Psikiatri dari Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, apabila sudah merasakan aura tekanan sudah datang ketika mahu menyiapkan sesuatu kerja, beliau akan berhenti sekejap dan mengambil masa untuk berehat.
"Bila kita berada dalam keadaan stress, teruskan kerja pun tidak berguna kerana hasilnya pasti tidak seperti yang diinginkan. Sebaiknya, berhentilah seketika. Saya biasanya akan bangun dari tempat saya dan berjalan-jalan sebentar di sekitar kawasan pejabat. Saya juga akan mengambil masa tersebut untuk bersembang kosong bersama-sama rakan bagi meringankan sedikit tekanan".
"Hari-hari bekerja yang menyibukkan juga menyebabkan masa untuk bersenam turut terbatas. Sebab itu, saya penuhkan aktiviti hujung minggu dengan beriadah. Biasanya saya akan berjoging untuk kekalkan kesihatan. Lakukan apa sahaja yang kita gemari. Dengan cara ini, kita boleh melupakan & melegakan tekanan yang dihadapi".
"Selain itu, jangan sesekali campur adukkan masalah kerja dan rumah. Saya akan memastikan masalah atau kerja pejabat diselesaikan di situ dan tidak dibawa balik ke rumah. Ini penting kerana emosi kita mempengaruhi ahli keluarga nanti. Siapa yang suka melihat pasangannya balik ke rumah dalam keadaan kusut kerana masalah kerja?"
"Paling penting, hadapi tekanan dengan baik. Kalau sudah tahu apa punca yang menyebabkan kita mudah stress, cuba jauhinya. Jika tidak boleh dielakkan, larikan diri dari puncanya buat seketika."
(Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan